Saturday, April 20, 2013

Mawan dicabar oleh Ali Biju dari PKR

SARATOK: Kerusi Parlimen Saratok bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri William Mawan, Ali anak Biju (PKR) dan Rosli Bin Lek @ Abang Roselie Abang Paleng (Bebas).

Mawan, 64, presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), menggantikan tempat penyandang kerusi Saratok, Jelaing Mersat yang tidak dicalonkan semula untuk Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) pada 5 Mei ini.

Proses penamaan calon yang bermula jam 9.00 pagi semalam menyaksikan Ali Biju, 45, dengan diiringi oleh Elley Chandi selaku pencadang dan Basan Karim selaku penyokong merupakan calon pertama yang menghantar borang pencalonan.

Ia kemudian diikuti oleh calon Bebas, Rosli Bin Lek, 74, bersama pencadang Samawi Nusi dan Musa Junaidi selaku penyokong menghantar borang pencalonan.

Mawan, bersama Datuk Haji Abdul Wahab Aziz selaku pencadang dan Lim Kheng Huat selaku penyokong merupakan calon terakhir yang memasuki ruang penamaan calon bertempat di Pejabat Daerah Saratok.

Di BAU, proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Mas Gading berjalan lancar tanpa sebarang perkara tidak diingini berlaku walaupun berlaku sedikit provokasi dari penyokong parti yang bertanding.

PRU13 kali ini bakal menyaksikan persaingan sengit empat penjuru bagi mempertahankan kerusi Parlimen Mas Gading.

Calon BN Nogeh Gumbek yang merupakan muka baru akan ditentang oleh bekas penyandang kerusi Mas Gading, Datuk Tiki Lafe yang bertanding sebagai calon Bebas.

Turut mencabar dua orang calon parti pembangkang, Mordi Bimol yang bertanding atas tiket DAP manakala Patrick Anek Uren mewakili Parti Reformasi Negeri (STAR).

Ini bermakna calon BN, Nogeh Gumbek akan berhadapan dengan dua orang bekas penyandang kerusi parlimen Mas Gading yang sudah pasti mempunyai pengalaman luas dalam bidang politik.

Satu lawan satu di Batang Lupar

Di SRI AMAN, Parlimen Batang Lupar bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon BN Datuk Hajah Rohani Abdul Karim yang mempertahankan kerusi itu dengan calon PKR Abang Zulkifli Abang Engkeh.

Rohani ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon semalam berkata perjuangan untuk rakyat, negara dan bangsa telah bermula.

Katanya, BN akan meneruskan program transformasi yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya rakyat kembali memberi mandat kepada mereka pada PRU13 ini.

“Kita akan berjuang demi rakyat agar segala kemudahan serta kesenangan hidup dapat dikongsi bersama,” katanya.

Di SERIAN, kerusi Parlimen Serian pula menyaksikan perlawanan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Richard Riot Jaem, 61, calon DAP, Edward Andrew Luwak, 61, dan calon STAR, Johny Aput.

Penyandang Parlimen Serian, Riot dari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) tiba di Pusat Penamaan calon pada jam 8.40 pagi semalam dengan diiringi kira-kira 500 penyokong. Calon DAP tiba 20 minit kemudian bersama kira-kira 100 penyokong manakala calon STAR tiba jam 9.20 pagi.

Terdahulu, Riot mengingatkan penyokong beliau supaya tidak menggunakan kekerasan semasa berkempen kerana BN disegani selain menganggap PRU sebagai satu peperangan.

No comments:

Post a Comment